UPM jadi tuan rumah HINEX CAMP kali ke-14

10 Oktober 2016 BINTULU: Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih sebagai tuan rumah program Higher Institution National Exploration & Camping (HINEX CAMP) kali ke-14, di UPM Kampus Bintulu (UPMKB), di sini, hari ini.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata seramai 205 peserta dan pegawai pengiring menyertai program HINEX yang bermula hari ini hingga 15 Oktober depan.

Beliau berkata, pengurusan UPM juga menyalurkan sejumlah peruntukan RM150,000 bagi tujuan menaik taraf tapak perkhemahan di Kem Hutan Nirwana sebagai sokongan padu UPM yang menjadi tuan rumah dalam menjayakan program berkenaan.

“Saya sendiri sudah melakukan lawatan tapak ke kawasan perkhemahan ini, dan yakin dengan kenaikan taraf ini dapat merealisasikan harapan untuk menjadikan program ini sebagai program yang akan dikenang dan memberikan impak yang tinggi kepada peserta. Syabas dan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang bertungkus lumus dalam menjayakan penganjuran program ini yang sememangnya sangat signifikan dengan keperluan pelajar pada masa kini. Kita berharap dengan program ini akan dapat melahirkan pelajar yang cergas serta mempunyai ketahanan dari segi mental dan fizikal melalui aktiviti fizikal dan aktiviti pengakap,” katanya ketika berucap merasmikan program HINEX CAMP kali ke 14, di Dewan Sri Kenyalang, UPM KB, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Kumpulan Latihan Kelana Siswa (KLKM), Prof Madya Dr Abdul Rashid Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM merangkap Pesuruhjaya Kehormat Pengakap Daerah UPM, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin.

Program itu adalah anjuran KLKM daerah UPM membabitkan pelajar UPM, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Politeknik Mukah.

Program itu turut dijayakan dengan kerjasama UPM Kampus Bintulu, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Persatuan Pengakap Negeri KLKM dan Persatuan Pengakap Malaysia.

Antara aktiviti peserta kem itu ialah Similajau Jungle Tracking, Night Walk Kem Hutan Nirwana, Malam Mesra Alumni selain menyertai ekspedisi ke Gua Niah, lawatan ke rumah panjang dan program seperti khidmat komuniti di Kuala Tatau dan Sebauh.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/200801