Malaysia Tuan Rumah Jambori Pengakap Asean                               

KUALA NERUS: Jambori Pengakap Asean mampu menjadi medan merapatkan ukhuwah dalam kalangan pengakap di negara-negara Asean dan melahirkan pemimpin lebih berdedikasi dengan memiliki minda kelas pertama.

Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong berkata menerusi jambori tersebut pelbagai aktiviti diadakan bertujuan melatih pengakap menjadi seorang pemimpin pada masa akan datang.

“Ahli-ahli pengakap ini terdiri daripada golongan remaja yang mana mereka merupakan pelapis pada masa akan datang dan dengan adanya jambori ini saya percaya mereka akan dapat menjadi pemimpin yang lebih berwibawa pada masa akan datang,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Jambori Pengakap Asean kali kelima di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di sini Sabtu.

Turut hadir Tengku Seri Temenggung Raja, Tengku Datuk Seri Baharuddin Sultan Mahmud; Ketua Pengakap Negara Tan Seri Datuk Seri Paduka Dr Shafie Mohd Salleh; dan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu Tan Seri Abdullah Taib.

Dalam pada itu, Zubir berkata Terengganu bertuah apabila menjadi tuan rumah bagi jambori tersebut untuk julung kalinya.

“Bersesuaian dengan Tahun Melawat Terengganu pada tahun depan, jambori ini juga sekaligus dapat mempromosikan dan memperkenalkan Terengganu di mata antarabangsa,” katanya.

Jambori yang berlangsung selama enam hari bermula Khamis lalu dianjurkan Majlis Pengakap Negeri Terengganu dan Persekutuan Pengakap Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Jambori tersebut menghimpunkan seramai 10,134 ahli pengakap dari negara-negara Asean.
Read more at http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/09/18/malaysia-tuan-rumah-jambori-pengakap-asean/#LkoKDdWpLVSgBmsP.99