Jambori Pengakap Malaysia Ke-13 Nov 2016                               

KUALA LUMPUR 9 Mac – Seramai 6,500 pengakap termasuk dari luar negara bakal berkampung sempena penganjuran Jambori Pengakap Malaysia ke-13 merangkap Jambori Antarabangsa Pengakap Kuala Lumpur dari 25 November sehingga 1 Disember ini.

Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dr. Shafie Mohd. Salleh berkata, sebanyak 1,200 daripada jumlah itu terdiri daripada pengakap antarabangsa dari negara ASEAN, Australia, Afrika, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

“Peserta akan berkongsi ruang yang sama dan bertanggungjawab ke atas satu sama lain dalam menjalinkan rasa hormat menghormati sesama mereka.

“Jambori kali ini dianjurkan dalam persekitaran sebuah bandar raya dengan aktiviti pengisiannya mengambil corak kebandaran dan aktiviti yang melibatkan kemahiran kepengakapan, sukan, kebudayaan serta perkhidmatan komuniti,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran rasmi logo dan tema Jambori Pengakap Malaysia ke-13 di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Prof. Mej. Jen. (B) Datuk Dr. Mohd Zin Bidin; Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Datuk Raja Ruslan Raja Samah dan Pesuruhjaya PPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Dr. Elli Mohd. Tahir.

Jambori pengakap tersebut akan diadakan di Taman Metropolitan Batu, Taman Batu Muda dekat sini.

Dalam pada itu, Elli berkata, selain peserta yang teridiri dalam kalangan ahli pengakap berumur antara 12 dan 17 tahun, jambori itu turut disertai pengakap kelana, Ahli Persaudaraan Baden Powell (B-P) serta pemimpin pengakap.

“Konsep silang budaya berbilang masyarakat yang diterapkan dalam jambori nanti diharap mampu membentuk peribadi yang mulia, menghargai perasaan bersatu padu serta solidariti dalam kalangan ahli pengakap.

“Kita berharap peserta dapat meningkatkan kesedaran tentang isu keamanan dan kesatuan selain membentuk jaringan pemimpin untuk memimpin pergerakan pengakap di peringkat kumpulan, daerah, negeri dan negara masing-masing serta dapat berkongsi maklumat sedia ada,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/jambori-pengakap-malaysia-ke-13-nov-ini-1.199074#ixzz4bmSdJ5VV
© Utusan Melayu (M) Bhd