Jambori pengakap erat hubungan Malaysia-Thailand

28 Jun 2013 ALOR SETAR – Demi mengeratkan lagi hubungan di antara Malaysia dan Thailand, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan usaha sama Kementerian Pelajaran Thailand bakal mengadakan Jambori Pengakap Sempadan Malaysia-Thailand 2013.

Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah, Rooslee Ismail berkata, jambori itu bakal diadakan selama enam hari bermula 30 Jun hingga 5 Julai di sebuah tapak perkhemahan pengakap Wilayah Songkhla.

“Program tahunan ini dijangka akan menghimpunkan lebih 2,000 ahli pengakap terpilih kedua negara terbabit berikutan memiliki kemahiran tinggi dalam bidang berkenaan yang diadakan di Scout Camping, Municipal Park, Hat Yai, Thailand.

“Semua negeri termasuklah Wilayah Persekutuan / Labuan akan turut sama menghantar peserta masing-masing ke jambori berkenaan, sekaligus memberi peluang kepada peserta menjalinkan hubungan,” katanya ketika Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja Jambori Pengakap Sempadan Malaysia-Thailand.

Menurutnya, Unit Kokurikulum JPN Kedah berterima kasih kepada Bahagian Kokurikulum dan Kesenian (BKK) Kementerian Pelajaran kerana memberi kepercayaan sekali lagi kepada pihak mereka untuk menjadi urusetia kepada kontinjen Malaysia untuk menyertai aktiviti ini.

“Justeru, saya mengharapkan semua urusetia jambori dapat memastikan keperluan dan kelengkapan kontinjen dapat disediakan dengan sebaiknya,” katanya.

Rooslee berkata, kontinjen Kedah khasnya merupakan duta negara dalam aktiviti kokurikulum unit beruniform, justeru diharapkan pihak berkenaan dapat memartabatkan dan mengangkat nama negara ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Unit Kokurikulum JPN Kedah, Lazit Ahmad berkata , pelbagai program akan dijalankan termasuklah aktiviti kebudayaan, kemahiran, lawatan dan ujian kemahiran kepada pengakap.

Katanya, malah Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Kedah bakal mengadakan siri latihan pusat di Pusat Kokurikulum Yan, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan demi memantapkan penguasaan kemahiran dimiliki peserta negeri ini.